'Najib beri saya lampu hijau untuk tangkap Razak Baginda' - Musa Hassan
Sewaktu siasatan melibatkan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dijalankan, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, sendiri telah memberi kebenaran kepada pihak polis untuk menangkap suspek iaitu Abdul Razak Baginda.
Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberitahu, beliau diminta berurusan dengan Najib oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi, memandangkan Abdul Razak Baginda berkhidmat sebagai penasihatnya.
“Setelah memberitahu hal tersebut, Najib sendiri memberi saya lampu hijau untuk menahan Abdul Razak Baginda. Beliau benarkan polis lakukan kerja siasatan,” ujar Musa dalam sebuah sidang media mengenai siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, tiada halangan untuk polis membuka semula kertas siasatan berhubung kes itu sekiranya ada maklumat dan petunjuk baharu diberikan oleh mana-mana pihak.
“Kalau ada petunjuk baharu, sila buat laporan polis. Polis akan buka semula siasatan. Tiada masalah.
“Jika bertanya tentang motif, Altantuya sudah menyatakan bahawa dia datang ke Malaysia untuk meminta duit tetapi diugut dan diganggu sebelum kemudiannya dia hilang,” kata beliau tentang kes tersebut yang turut melibatkan dua anggota polis.
Sementara itu, Musa menyelar pihak yang hanya mengelirukan orang ramai dengan menyebar tuduhan tetapi tidak mengambil tindakan mengikut saluran yang betul.
Mengulas laporan Al-Jazeera melalui program '101 East' tentang isu Altantuya, Musa memberitahu dokumentari itu pada awalnya mengikut kronologi tetapi disudahi dengan gaya laporan yang ditokok tambah.
Beliau mempertikai tindakan penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang memberi keterangan di luar mahkamah atas pengaruh pihak tertentu hingga cenderung memberi maklumat yang tidak direkodkan dalam mahkamah.
Sehubungan itu, sumber Pejabat Perdana Menteri telah membuat kenyataan rasmi mengatakan bahawa dakwaan-dakwaan yang dibuat itu adalah palsu dan mempunyai agenda politik sendiri.
Menurut kenyataan itu, 'dakwaan-dakwaan yang dilontarkan sengaja berniat untuk mengelirukan, dan dakwaan-dakwaan serupa digunakan sebagai asas kepada pelbagai teori konspirasi selama ini'.
“Saya ingin mengajak orang awam mengetahui fakta sebenar dan jangan campur aduk dengan fitnah dan cerita-cerita tanpa asas," kata Musa.
Advertisement