Isu 1MDB bukan segala-galanya, kata Najib
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menegaskan isu syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukanlah segala-galanya, sebaliknya keutamaan rakyat lebih penting berbanding skandal yang turut mengaitkan dirinya itu.
Najib yang juga perdana menteri ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kota Melaka, di Melaka petang tadi berkata, makanan, perlindungan, dan pendidikan adalah keperluan yang lebih utama untuk rakyat.
"Rakyat nak apa, 'food on the table', bumbung 'shelter', rezeki yang halal, sekolah dan pendidikan untuk anak-anak. Ini yang perlu kita beri fokus.
"Soal 1MDB bukan segala-galanya macam dunia nak kiamat, macam apa namanya, siling nak runtuh," katanya, di hadapan lebih 500 perwakilan Umno bahagian tersebut.
"Inilah bukanlah isu yang paling penting, sebagai ahli parti, saya nak kita fokus kepada tugas utama kita, fokus kita apa, fokus kita jaga hati rakyat, buat apa yg dikehendaki rakyat. InshaAllah Umno dan Barisan Nasional (BN) boleh menang," katanya hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sebagai presiden, beliau hanya mahukan Umno terus kukuh.
"Sebagai presiden parti tentu sekali saya nak parti menang, parti kuat, ada kekuatan sepanjang masa. Ini amanah.
"Setiap orang akan dipertanggungjawabkan kepimpinannya dalam Islam. Ketua itu lagi berat tanggungjawabnya dipersoalkan nanti," katanya.
Beliau turut berkata, selama 38 tahun bergelumang dalam dunia politik tanah air, terlalu banyak dugaan yang terpaksa dihadapinya.
"Saya tahu, 38 tahun dalam politik, sejak tahun 1976, nak sampai jawatan ini bukan senang. Onak ranjaunya. Saya tahu beratnya.
"Politik ini bukan macam graf yang naik semacam. Macam hidup kita juga, ada masa senang, ada masa susah. Dalam hidup macam itu. Dalam perkahwinan macam itu," katanya.
Beliau turut menegur kepimpinan yang hanya bersama ketika senang, namun ketika menempuh kesusahan, mereka akan menghilangkan diri.
"Tapi janganlah masa senang kita sokong, nampak susah sikit nak tebuk pula kapal. Tak boleh. Ini namanya setiakawan dalam politik.
"Jangan 'bro-bro' waktu senang, waktu susah tak nampak muka, nak tikam lagi adalah," katanya.
Beliau turut mengambil contoh semangat setiakawan yang diamalkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan bekas ketua menteri Datuk Seri Ali Rustam yang masih mampu bekerjasama.
"Ali tiada buat kenyataan minta ketua menteri turun. Cantik. Inilah semangat kekeluargaan kita.
"Kita akan jadi lebih kuat lagi. Kalau tiada Umno, terbangsatlah Melayu. Tiada perkataan lain. Meremang bulu roma saya. Itu sangat menyayat hati kalau Umno terkubur.
"Janganlah berbeza pendapat sampai kita lihat terkuburnya Umno. Umnolah satu-satunya harapan kita. Saya tak dapat bayangkan Malaysia tanpa Umno," katanya.
Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menjadi individu yang lantang mengkritik pentadbiran Najib membabitkan skandal 1MDB, serta mendesak beliau menjelaskan isu hutang syarikat itu yang mencecah RM42 bilion, serta menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap pentadbiran Najib. – 1 Ogos, 2015.
Sumber: themalaysianinsider
Lagi gambar menarik :
Advertisement