Dakwaan serpihan MH370 di Maldives
Malaysia akan menghantar satu pasukan ke Maldives bagi memeriksa serpihan yang ditemui di pulau itu yang berkemungkinan
dari MH370.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagaimanapun berkata "masih terlalu awal" untuk membuat spekulasi bahawa serpihan tersebut mempunyai kaitan dengan pesawat Penerbangan Malaysia.
"Malaysia sudah dimaklumkan secara rasmi oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Maldives berhubung penemuan serpihan itu. Pada peringkat sekarang tidak ada pengesahan mengenai serpihan itu.
"Kita akan menghantar satu pasukan ke Maldives untuk menilai serpihan itu dan juga melakukan pengesahan awal," kata Liow dalam kenyataan hari ini.
Beliau menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia "akan menyebabkan tekanan tidak perlu" kepada waris dan saudara-mara 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu.
Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lepas semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Pada 6 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan bahawa flaperon (komponen sayap pesawat) yang ditemui di Pulau Reunion milik Perancis itu adalah dari MH370.
Menurut rekod penyelenggaraan oleh Penerbangan Malaysia (MAS), tanda pengesahan (seal) teknikal pada flaperon itu adalah antara bukti yang menunjukkan komponen pesawat itu milik MH370 yanag menurut penyiasat penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.
Sumber- Bernama
Advertisement